Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya hari ini menasihati umat Islam di
negara ini yang ingin berkahwin, agar tidak memilih pengikut ajaran
Syiah sebagai pasangan hidup.
Katanya selain menjaga keharmonian akidah umat Islam di negara ini yang
mengamalkan fahaman Sunnah Wal Jamaah, langkah itu juga mengelakkan
konflik jika pasangan bercerai.
"Kita tidak mengharamkan pernikahan tersebut sebaliknya kita melarang
dan memberi peringatan agar pasangan terbabit berfikir sedalam-dalamnya
jika berlaku masalah dalam perkahwinan tersebut," katanya hari ini.
Juanda berkata larangan itu juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa
Fatwa Negeri Perlis dan diperakui Majlis Agama Islam dan Adat istiadat
Melayu Perlis November tahun lepas.
"Langkah tersebut bertitik tolak daripada satu kes yang dilaporkan di
Mahkamah Syariah Perlis melibatkan seorang isteri yang menuntut cerai
daripada suaminya iaitu pengikut tegar ajaran Syiah, empat tahun lalu.
"Kes itu masih belum selesai berikutan perbezaan ajaran antara pasangan
tersebut sekali gus menyebabkan status perkahwinan wanita yang
mempunyai dua anak terbabit ibarat digantung tidak bertali," katanya.
Ditanya langkah yang diambil pihaknya jika pasangan berkeras untuk
meneruskan perkahwinan, Juanda berkata pihaknya akan menemu bual
pasangan yang mengikuti ajaran Syiah bagi mengenal pasti tahap
pemahamannya mengenai ajaran itu.
Mengulas langkah yang diambil untuk menyekat penyebaran ajaran Syiah,
Juanda berkata Perlis mengambil langkah awal, antaranya tidak menerima
kemasukan pelajar dari negara-negara yang mengamalkan ajaran itu.
"Kita telah melihat dan mengkaji bagaimana ajaran Syiah ini tersebar,
satu caranya ialah melalui kemasukan pelajar-pelajar dari Iran, Pakistan
dan Lubnan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Perlis tidak
menerima mana-mana kemasukan pelajar dari negara-negara yang mengamalkan
ajaran tersebut," katanya. - Bernama, 17 Ogos, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan