Isnin, 11 November 2013

Kegiatan Syiah di Perlis dipantau secara serius BERITA HARIAN

Cetak
KANGAR: Kegiatan Syiah di Perlis akan dipantau secara serius walaupun kegiatan mereka di negeri ini belum ketara, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Khairi Hasan.

Beliau berkata langkah itu perlu bukan sahaja bagi memastikan kegiatan mereka tidak menggugat umat Islam malah bertujuan menghapuskan kegiatan itu.
"Kumpulan sasaran yang akan dipantau termasuk pelajar antarabangsa yang berada di Perlis," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini.


Setakat ini hanya lima orang sahaja di Perlis yang ketara terbabit dalam kegiatan Syiah termasuk penjawat awam yang kini berada dalam pemerhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Perlis, katanya.

Beliau berkata fatwa telahpun dikeluarkan di negeri ini mengharamkan amalan Syiah dan Jabatan Mufti diarah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri supaya tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka.

Khairi berkata buat masa ini pendekatan yang diambil adalah merampas risalah berkaitan ajaran Syiah yang disebarkan individu tertentu.
Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyebaran risalah Syiah supaya melaporkan kepada JAIPs bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Sementara itu, Khairi berkata MAIPs dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Wacana Pemantapan Aqidah Islam di Dewan 2020 pada 22 Nov ini bagi mengupas isu semasa termasuk ajaran Syiah dan fahaman lain yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dijangka 2,000 peserta termasuk badan bukan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi menyertai wacana sehari itu. - BERNAMA
RI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan