KUCHING, 17
OGOS 2013 : Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya hari ini menasihati umat
Islam di negara ini yang ingin berkahwin, agar tidak memilih pengikut
ajaran Syiah sebagai pasangan hidup.
Katanya selain
menjaga keharmonian akidah umat Islam di negara ini yang mengamalkan
fahaman Sunnah Wal Jamaah, langkah itu juga mengelakkan konflik jika
pasangan bercerai.
"Kita tidak
mengharamkan pernikahan tersebut sebaliknya kita melarang dan memberi
peringatan agar pasangan terbabit berfikir sedalam-dalamnya jika berlaku
masalah dalam perkahwinan tersebut," katanya pada sidang media di sini
hari ini.
Juanda berkata
larangan itu juga telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis
dan diperakui Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis
(MAIPs) November tahun lepas.
"Langkah
tersebut bertitik tolak daripada satu kes yang dilaporkan di Mahkamah
Syariah Perlis melibatkan seorang isteri yang menuntut cerai daripada
suaminya iaitu pengikut tegar ajaran Syiah, empat tahun lalu.
"Kes itu masih
belum selesai berikutan perbezaan ajaran antara pasangan tersebut sekali
gus menyebabkan status perkahwinan wanita yang mempunyai dua anak
terbabit ibarat digantung tidak bertali," katanya.
Ditanya langkah
yang diambil pihaknya jika pasangan berkeras untuk meneruskan
perkahwinan, Juanda berkata pihaknya akan menemu bual pasangan yang
mengikuti ajaran Syiah bagi mengenal pasti tahap pemahamannya mengenai
ajaran itu.
Mengulas
langkah yang diambil untuk menyekat penyebaran ajaran Syiah, Juanda
berkata Perlis mengambil langkah awal, antaranya tidak menerima
kemasukan pelajar dari negara-negara yang mengamalkan ajaran itu.
"Kita telah
melihat dan mengkaji bagaimana ajaran Syiah ini tersebar, satu caranya
ialah melalui kemasukan pelajar-pelajar dari Iran, Pakistan dan Lubnan,
institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di Perlis tidak
menerima mana-mana kemasukan pelajar dari negara-negara yang mengamalkan
ajaran tersebut," katanya. - Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan